SIAPA YANG DIKATAKAN ANAK ZINA?

Anak zina: Seseorang yang datang daripada ibunya dengan secara persetubuhan haram bukan perkahwinan.

Terdapat sedikit kesamaan antara anak yatim dengan anak zina. Anak zina tidak ada bapa secara syarie, adapun anak yatim mempunyai bapa tetapi telah meninggal. Perbezaan antara keduanya amat jelas.

Terdapat beberapa hukum khas yang diperbincangkan Fuqaha berhubung anak zina;

1) Agama anak zina

2) Melantik anak zina menjadi Muazzin

3) Anak zina menjadi Imam solat

4) Menyerahkan zakatnya kepada anaknya daripada zina

5) Membayar zakat fitrah untuk anaknya daripada zina

6) Kedudukan mahram antara anak zina dengan kedua ibu bapanya daripada zina

7) Kedudukan mahram antara anak zina dengan ahli keluarga ibu bapanya daripada zina

8) Kufu’ anak zina untuk berkahwin dan dikahwini

9) Nasab anak zina

10) Susuan perempuan yang memperoleh susu badan hasil daripada zina. Apakah dikatakan ibu susu.

11) Wrisan anak zina

12) Melantik anak zina menjadi Qadi

13) Penyaksian anak zina

14) Qazaf ke atas anak zina

15) Bapa membunuh anaknya daripada zina

HUBUNGAN ANAK ZINA DENGAN KEDUA IBU BAPANYA

Sepakat Ulama mengatakan menjadi mahram muabbad di antara ibu dan anaknya daripada zina. Khilaf Ulama hanya kepada hubungan antara anak perempuan zina dengan bapanya daripada zina.

1) Jumhur Ulama terdiri daripada Hanafiah, Malikiyah, Hanabilah dan Syafieyah di dalam satu pendapatnya: Menjadi mahram muabbad di antara anak zina dengan bapanya daripada zina.

Ini berdasarkan dalil umum Al-Quran tanpa membezakan antara anak daripada zina atau tidak. Firman Allah Taala di dalam surah an-Nisa ayat 23;

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالاتُكُمْ وَبَنَاتُ الأخِ وَبَنَاتُ الأخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ مِنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللاتِي فِي حُجُورِكُمْ مِنْ نِسَائِكُمُ اللاتِي دَخَلْتُمْ بِهِنَّ فَإِنْ لَمْ تَكُونُوا دَخَلْتُمْ بِهِنَّ فَلا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلابِكُمْ وَأَنْ تَجْمَعُوا بَيْنَ الأخْتَيْنِ إِلا مَا قَدْ سَلَفَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَحِيمًا

Maksudnya: Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak perempuan kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telah pun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Juga berdasarkan hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud dan Tirmizi.

قَوْل النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي امْرَأَةِ هِلاَل بْنِ أُمَيَّةَ : " أَبْصِرُوهَا فَإِنْ جَاءَتْ بِهِ - يَعْنِي وَلَدَهَا - عَلَى صِفَةِ كَذَا فَهُوَ لِشَرِيكِ بْنِ سَحْمَاءَ "

Maksudnya: Ucapan baginda berkenaan isteri Hilal bin Umayah: Kamu perhatikan dia, jika telah melahirkan dengan -kriteria sebegini- maka dia merupakan anak Syarik bin Samha’.

Hadis ini berkenaan kisah yang pernah berlaku apabila Hilal menuduh isterinya berzina dengan Syarik bin Samha’. Nabi memutuskan penentu anak kepada kandungan isterinya berdasarnya hakikat air mati pemiliknya. Kriteria rupa sebagai pemutus bapa kepada anak tersebut.

Ini juga berdasarkan logik akal yang amat jelas bahawa wanita tersebut datang daripada air maninya. Maka wajar sahaja itu merupakan anaknya.

2) Syafieyah berpendapat: Tidak menjadi mahram antara anak perempuan zina dengan bapanya. Bahkan dianggap wanita ajnabiah. Hukum ditetapkan sebegini walaupun dapat diketahui secara pasti anak itu datang daripada air maninya. Ini kerana tidak ada kehormatan kepada zina. Sama ada wanita yang mengandungkan anak zina dirogol atau disetubuhi secara rela. Makruh bagi lelaki mengahwini anak perempuan daripada hasil perbuatan zinanya. Demi meraikan khilaf jumhur.

Begitu juga halnya bagi anak lelaki. Tidak mendapat pengiktirafan oleh syarak bahawa itu adalah anaknya walaupun secara pasti daripada air maninya. Segala hukum hakam seperti perwarisan tidak ada keterikatan di antara satu sama lain. Hukum keduanya tidak lebih hubungan saudara sesama Islam.

Maka dapat difahami daripada sini Syafieyah menganggap hubungan di antara anak zina dan bapa yang berzina dengan ibunya secara haram, sama seperti lelaki ajnabiah. Tidak terdapat apa-apa ikatan. Berlainan dengan Hanafiah yang menjadikan hakikat pemilik air mani sebagai penyambung nasab keturunan. Kedudukan anak zina sama dengan anak yang di lia’n.

No comments:

Post a Comment

ALHAMDULILLAH..BLOG YANG PENUH MANFAAT...TIME KASIH NGAN KEJESAME AKHI ANA